PETALING JAYA: Seorang pelajar kedoktoran dan pekerja hotel yang dijatuhi hukuman penjara 24 tahun atas pertuduhan terbabit dalam sindiket pelacuran menerusi aplikasi WeChat, dipenjara 10 tahun lagi dan satu sebatan atas pertuduhan sama.

Keputusan itu dibuat oleh Hakim Datin Fadzlin Suraya Mohd Suah terhadap siswazah perubatan sebuah universiti di Mesir, Khairul Azzuar Yusoff dan pekerja hotel, Mohyuddin Ahmad Fajarudin, yang mengaku bersalah atas pertuduhan menjadi orang tengah bagi aktiviti persundalan.

Kedua-dua tertuduh diperintahkan menjalani hukuman itu selepas hukuman penjara 14 tahun, yang diputuskan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Jumaat minggu lalu, selesai.

Ini menjadikan mereka menjalani hukuman penjara 24 tahun secara keseluruhan, bagi semua kes dihadapi di dua mahkamah berlainan iaitu di Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Selain itu, Mohyuddin dan Khairul Azzuar juga dikenakan hukuman sebatan masing-masing 14 dan sembilan bagi kesalahan dilakukan.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah hotel di Subang Jaya, Januari tahun lalu.

Sementara itu, di hadapan Hakim Mohd Kamil Nizam, Mohyuddin dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dari tarikh tangkapnya pada 7 Februari 2017 dan dua sebatan selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan hidup hasil daripada aktiviti persundalan itu.

Bagi semua kes itu, pendakwaan kes dikemukakan mengikut Seksyen 372 (1)(f) dan Seksyen 372 A(1) Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Rozaliana Zakaria, memohon hukuman setimpal dikenakan ke atas kedua-dua tertuduh dengan alasan tindakan keji kedua-dua tertuduh yang hidup hasil daripada aktiviti persundalan itu bertentangan dengan moral dan agama.

“Meskipun mangsa dalam kes ini melakukan perbuatan itu secara sukarela, aktiviti tidak bermoral itu mungkin dapat dibendung jika tertuduh tidak memberikan peluang itu, ,” katanya.

Bagaimanapun, peguam Zulaikha Fardi, yang mewakili kedua-dua tertuduh memohon hukuman penjara dan sebatan minimum serta berjalan serentak dengan hukuman yang sedang berjalan kerana dua-dua anak guamnya adalah pesalah muda dan sudah insaf.

Mengikut fakta kes, seorang pegawai polis menyamar sebagai pelanggan menerusi WeChat tertuduh yang menggunakan nama samaran Encik Nakal (Khairul Azzuar) dan Santiago (Mohyuddin).

Bertindak atas maklumat, satu serbuan dilakukan dan dua telefon pintar yang digunakan untuk aktiviti itu ditemui – berita harian