SERDANG: Seorang lelaki warga asing maut selepas ditikam bertubi-tubi oleh rakan serumah dipercayai gara-gara berebut kipas angin sekitar jam 10 malam tadi.

Ketika kejadian, mangsa yang bekerja sebagai pengumpul barang lusuh sedang berehat bersama isteri dan dua anak di bilik sewaan masing masing di tingkat 3, rumah kedai di Bandar Putera Permai, Seri Kembangan, Selangor.

Namun berlaku pertelingkahan kecil di antara mangsa dengan suspek yang berebutkan sebuah kipas sebelum keadaan menjadi tegang dan berlaku pergelutan.

Mangsa cuba melarikan diri namun rebah di aras bawah.

Mangsa dipercayai mati akibat tikaman di bahagian belakang badan, leher dan kepala.

Suspek terbabit kemudian melarikan diri.

Polis menemukan pisau yang disyaki digunakan sebagai senjata kira-kira 50 meter dari tempat kejadian.

Isteri dan seorang ahli keluarga mangsa dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang untuk diambil keterangan.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Serdang untuk dibedah siasat.

Kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu kes bunuh. – Awani