KUALA KURAU – Penggunaan bubu naga oleh dua nelayan di Perairan Pulah Trong, dekat Taiping semalam mengundang padah apabila 55 peralatan itu bersama sebuah bot dirampas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Pengkalan Kuala Kurau, semalam.

Pengarah Zon Maritim Pengkalan Kuala Kurau Leftenan Komander Mohamad Zainal berkata, penemuan peralatan menangkap ikan diharamkan Jabatan Perikanan itu ditemui sejurus pihakya menahan bot tanpa nombor pendaftaran berkenaan pada kedudukan kira-kira 1.6 batu nautika dari Pulau Trong.

Menurutnya, dalam operasi bersama Jabatan Perikanan dan Pasukan Polis Marin (PPM) di perairan Kerian dan Larut Matang, pihaknya terserempak dengan sebuah bot dalam keadaan mencurigakan berhampiran pulau itu jam 8.40 pagi.

“Selepas menahan bot itu, Maritim Pengkalan Kuala Kurau menemui 55 bubu naga berada di atas bot dikendalikan seorang tekong dan seorang awak-awak tempatan berusia 40-an.

“Pemeriksaan lanjut mendapati bot itu tidak mempunyai nombor pendaftaran dan turut ditemui hasil tangkapan udang campur seberat 10 kilogram,” katanya kepada media di sini hari ini.

Mohamad berkata, bot bersama bubu naga itu dirampas dan dibawa ke jeti Pengkalan Kuala Kurau untuk tindakan lanjut, manakala hasil tangkapan dilelong.

“Tekong dan awak-awak dilepaskan dengan jaminan polis dan kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan tanpa lesen sah,”katanya – sinar