JOHOR BAHRU: Dua lelaki dijatuhi hukuman penjara tujuh bulan oleh Mahkamah Majistret Johor Bahru di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah melarikan diri dari lokap Balai Polis Gelang Patah, Iskandar Puteri, pada 11 Jun lalu.

Tertuduh, Nolmat Halil Abd Jalil, 34, dan Muhammad Firdaus Irwan, 25, didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 6.16 pagi.

Kedua-dua tertuduh yang juga penganggur didakwa dengan sengaja lari daripada jagaan.

Bagaimanapun, mereka ditahan semula tidak sampai 24 jam kemudian di sekitar Johor.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 224 Kanun Keseksaan serta dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dipenjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwaraya, Chan Lee Lee manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Johor Bahru, R Salini menjatuhi hukuman penjara tujuh bulan bermula tarikh tangkapan iaitu 11 Jun lalu.

Terdahulu, Nolmat yang berasal dari Kota Tinggi dan Muhammad Firdaus dari Larkin menyatakan tidak berkemampuan membayar denda serta memohon hukuman penjara.

Nolmat menyatakan menyara ibunya yang sakit dan terpaksa bergerak menggunakan kerusi roda.

Pada hari kejadian, Nolmat dan Muhammad Firdaus melarikan diri melalui pintu hadapan dan terus ke laluan belakang balai dengan hanya memakai seluar dalam.

Bagaimanapun polis berjaya mengesan suspek yang terbabit dalam kes berasingan iaitu mencuri kenderaan dan samun.

Nolmat kemudian mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru atas kesalahan samun pada 5 Jun lalu.

Dia didakwa menyamun beg tangan Nor Adzlina Harith di bulatan East Ledang berhampiran Forest City, Iskandar Puteri.

Dia didakwa mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan denda jika disabit kesalahan.

Hakim Mahkamah Sesyen, K Rajeswari menetapkan 25 Jun ini sebagai tarikh menjatuhkan hukuman – berita harian