PUTRAJAYA: Seorang graduan perubatan dari universiti di Mesir dikenakan hukuman penjara 10 tahun dan satu sebatan oleh Mahkamah Jenayah Seksual Kanak-Kanak atas kesalahan hidup atas hasil persundalan seorang kanak-kanak berusia 14 tahun.

Hakim Yong Zarida Sazali menjatuhkan hukuman itu terhadap Khairul Azzuar Yusoff, 30, yang mengaku bersalah atas kesalahan terbabit selepas kes disebut semula.
Tertuduh yang sebelum ini mengaku tidak bersalah, bagaimanapun menukar pengakuannya selepas pihak pendakwaan memanggil tujuh saksi memberi keterangan.

Khairul Azzuar didakwa hidup daripada hasil persundalan kanak-kanak itu di Berjaya Times Square Hotel dan Servis Apartment, Jalan Imbi, pada jam 2 petang sehingga jam 3.30 petang pada 26 Januari 2017.

Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 372A(1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 15 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Sebelum ini Khairul Azzuar sudah dikenakan hukuman penjara 24 tahun dan 8 sebatan atas kesalahan menjadi orang tengah dan hidup atas hasil persundalan di Mahkamah Kuala Lumpur – berita harian