KLUANG: Tindakan dua lelaki yang menyamar sebagai pegawai polis dan memeras ugut sebuah keluarga di Taman Sri Kluang, di sini, membawa padah apabila kedua-dua mereka ditahan, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Mohd Abduh Ismail, berkata terdahulu, kira-kira jam 7 petang kelmarin, mangsa yang tinggal bersama ibunya didatangi suspek yang memperkenalkan diri sebagai pegawai polis dari Kuala Lumpur.

Katanya, suspek menunjukkan kad lambang polis apabila diminta mangsa yang mahu pengesahan sebelum bertanya mengenai abang mangsa dengan menunjukkan gambar sebagai helah.

“Suspek memaklumkan abang mangsa berhutang sebanyak RM450,000 dan meminta mangsa menyelesaikannya namun gagal menunjukkan dokumen berkaitan apabila diminta berbuat demikian,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Mohd Abduh berkata, suspek kemudian bertegas mahu masuk ke dalam rumah mangsa tetapi dihalang mangsa sebelum kedua-dua suspek beredar menaiki sebuah kereta dengan logo polis.

Katanya, mangsa kemudian membuat satu laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang sebelum sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kluang membuat serbuan di sebuah hotel di Jalan Lambak, di sini, kira-kira jam 2 pagi tadi.

“Dalam serbuan itu, polis menahan dua lelaki masing-masing berusia 30 dan 45 tahun. Hasil pemeriksaan, seorang daripada suspek didapati mempunyai satu rekod jenayah dan dikehendaki polis bersabit kes yang dilaporkan di Ibu Pejabat Polis Seri Alam, Johor Bahru.

“Ujian air kencing juga mendapati kedua-dua suspek negatif dadah selain turut merampas sebuah buku poket dan dua pemegang kad tertera lambang polis serta satu kad Kor Sukarekawan Polis Siswa (SUKSIS),” katanya.

Mohd Abduh berkata, polis turut merampas empat telefon bimbit pelbagai jenama, sebuah cota besi, satu beg sandang serta sebuah kereta Mercedes Benz dengan jumlah rampasan dianggarkan RM60,000.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 384 dan Seksyen 170 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6 Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 yang membawa hukuman penjara dan denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

“Suspek direman empat hari sehingga Ahad ini untuk membantu siasatan berkaitan kes pemerasan jenayah yang dilaporkan di daerah ini dan kawasan lain,” katanya – berita harian