IPOH: Seorang lelaki warga Bangladesh dihukum penjara tiga bulan dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen Ipoh, hari ini selepas didapati bersalah memberi rasuah RM50 kepada seorang anggota polis di Slim River, awal bulan ini.

Tertuduh, Ariful, 41, mengaku bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim S Indra Nehru.

Mahkamah turut mengenakan tambahan penjara tiga bulan terhadap pekerja ladang kelapa sawit itu, jika gagal membayar denda.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di hadapan sebuah bank di Slim River kira-kira 9.45 malam 6 September lalu, sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadapnya yang didapati memiliki 13 karton rokok seludup.

Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 17 (B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama yang boleh membawa hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan didenda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya Nurul Wahida Jalaluddin memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat kerana ia satu kesalahan serius.

Ariful yang tidak diwakili peguam merayu mahkamah mengenakan hukuman denda dan penjara yang kurang kerana mendakwa dia adalah tulang belakang keluarganya yang tinggal di Bangladesh.

Mahkamah memerintahkan hukuman penjara yang dikenakan terhadapnya berjalan mulai hari ini.