IPOH — Gara-gara mereka-reka cerita diculik, seorang isteri anggota polis dihukum penjara tiga bulan di Mahkamah Majistret Batu Gajah atas tuduhan memberi maklumat palsu menerusi aplikasi Whatsapp dan Facebook.

Majistret Mohd Fitri Sadaruddin menjatuhkan hukuman itu terhadap Nurfauzilah Ariffin, 39, yang mengaku melakukan kesalahan itu kira-kira pukul 7.30 petang di kuaters Ibu Pejabat Polis Daerah Perak Tengah pada 3 Mei lalu.

Wanita itu mengaku salah memberi maklumat palsu melalui Whatsapp dengan menghantar pesanan suara meminta tolong dan menghantar pesanan melalui aplikasi Messenger Facebook miliknya.

Dia mengaku menghantar mesej dalam tulisan Bahasa Indonesia bahawa dia “berada di dalam tangan seseorang”.

Isteri anggota polis itu dituduh melakukan kesalahan mengikut seksyen 182 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara enam bulan atau denda RM 2,000 atau kedua-duanya sekali.

Laporan media sebelum ini memetik kenyataan polis mengenai penahanan seorang wanita yang membuat cerita palsu bahawa dirinya diculik bagi menghilangkan diri untuk sementara waktu kerana mempunyai masalah hutang.