PARIT BUNTAR – Projek menaik taraf Padang Bandaran, di sini sebagai venue acara bola sepak Sukan Malaysia (Sukma) 2018 diyakini mampu disiapkan sebelum tarikh penyerahan kepada kerajaan negeri meskipun sedikit terlewat.

Exco Kerajaan Negeri, Howard Lee Chuan How berkata, pihaknya diberi jaminan kontraktor dilantik dan Jabatan Kerja Raya (JKR) Kerian bahawa projek itu akan disiapkan sepenuhnya sebelum tarikh penyerahan semula venue itu kepada Sekretariat Sukma 2018 pada 20 Ogos hadapan.

Menurutnya, bagi memastikan projek itu sempat disiapkan, pihaknya turut memberi tekanan kepada kontraktor dilantik untuk mempercepatkan kerja menyiapkan Padang Bandaran itu termasuk meminta kontraktor melanjutkan kerja sehingga waktu malam.

“Secara rasminya, proses penyerahan semula Padang Bandaran dilengkapi kemudahan padang rumput sintetik sepatutnya diserahkan kepada Sekretariat Sukma 2018 pada 15 Julai lalu.

“Namun hakikatnya kita mengakui kontraktor dilantik lambat menyiapkan projek pada tempoh masa ditetapkan sehingga menyebabkan mereka kini memasuki tempoh denda,” katanya sewaktu mengadakan lawatan tapak projek menaik taraf Padang Bandaran Parit Buntar, di sini, semalam.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Gazali Jalal.

Chuan How berkata, dalam perjanjian asal tender projek, sekiranya kontraktor terlewat, maka setiap hari mereka akan didenda sebanyak RM1,603 sehari.

Menurutnya, ketika ini tempoh denda dikenakan terhadap kontraktor dilantik sudah memasuki minggu pertama dan atas kepentingan mengelakkan kos denda terlalu tinggi, mereka perlu menyiapkan projek itu dengan kadar segera.

“Di sebalik kebimbangan dirasai kerajaan negeri, saya menyambut baik jaminan pihak kontraktor dan JKR bahawa projek menaik taraf venue Sukma mampu disiapkan pada tempoh ditetapkan.

“Pada 25 Julai ini, wakil Badan Persekutuan Bola Sepak Dunia (Fifa) dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akan hadir membuat penilaian bagi mengiktiraf Padang Bandaran itu bagi kegunaan rasmi temasya Sukma 2018 nanti.

“Kita berharap keputusan itu positif dan tiada sebarang perkara tidak diingini berlaku di kemudian hari sehingga menyebabkan venue asal Sukma terpaksa dipindahkan,” katanya.

Mengenai status venue acara judo bagi Sukma 2018 yang sepatutnya diadakan di Dewan Kerian Permai, di sini, Adun Pasir Pinji itu mengesahkan venue berkenaan terpaksa diubah ke Dewan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Kerian yang terletak berhampiran lokasi asal.

Menurutnya, pada lawatan di lokasi venue asal, venue itu pada asalnya sudah sempurna.

“Namun disebabkan masalah kekangan ruang, jadi venue itu dialihkan ke Dewan SMJK Kerian yang lebih luas dan selesa untuk kemudahan atlet dan penonton yang hadir,” katanya.

Mengenai persiapan fizikal keseluruhan venue Sukma 2018 di seluruh Perak, beliau menegaskan 95 peratus venue sudah berjaya disiapkan.

“Hanya gelanggang badminton dan beberapa venue lain yang masih bermasalah, namun kami yakin ianya akan dapat diselesaikan mengikut tempoh waktu ditetapkan,” katanya.