IPOH: Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) mensasarkan untuk memenangi sekurang-kurangnya satu piala dalam saingan Liga Super musim 2018.

 Presidennya, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan berkata, bagi tujuan itu, pihaknya telah menyediakan sebuah pasukan yang mantap, yang mampu membawa cabaran The Bos Gaurus (TBG).

 Menurut beliau, pihaknya menyediakan pelbagai persiapan untuk meningkatkan prestasi pasukan, seperti perlawanan persahabatan dan kemudahan dua padang latihan di Chepor, masing satu padang rumput biasa dan satu lagi sintetik.

 “Saya ingin memohon kerjasama kelab-kelab penyokong untuk bersama-sama kita menjamin supaya penonton yang datang dapat membantu menaikkan semangat pemain untuk berjuang bermati-matian dan memastikan keseronokan permainan tidak terganggu oleh perkara-perkara yang tidak sepatutnya berlaku seperti bunga api, rusuhan, pergaduhan dan sebagainya,” katanya pada sidang media khas di sini, pada Rabu.

 Pada sidang media itu, Abdul Puhat turut mengumumkan dua pemain import baru dan dua pemain tempatan yang telah menandatangani kontrak untuk mewakili skuad TBG musim ini.

 Dua pemain itu ialah kapten pasukan Filipina sejak lima tahun lalu, Misagh Medina Bahadoran, 31, yang boleh bermain di posisi penyerang tengah dan sayap kanan, bagi kouta Asean.

 Seorang lagi pemain import ialah Wander Luiz Bitencourt Junior, 31, berasal dari Brazil yang sebelum ini bermain di posisi penyerang tengah di Kelab Al-Raed di Liga Bolasepak Profesional Arab Saudi.

 IMG-20180110-WA0003Dua pemain tempatan ialah bekas pemain T- Team, Nor Hakim Hassan, 27, dan bekas pemain Kelantan, Brendan Gan Seng Ling.

Dalam pada itu, kata Abdul Puhat, pihaknya sedang meneliti pemain import ketiga untuk kouta Asia bagi memantapkan lagi kemampuan pasukan, khususnya di bahagian pertahanan tengah.

 Beliau turut mengumumkan Naib Presiden PAFA, Datuk Rashidi Ibrahim sebagai penolong pengurus dan Mohd Nasir Basharudin sebagai ketua pasukan yang dibantu dua penolongnya, Shahrul Mohd Saad dan Muhammad Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy.

IMG-20180110-WA0004

 Beliau memberitahu, majlis pengenalan pemain, termasuk pemain Piala Presiden, Belia, pengurusan serta jersi akan dilakukan pada malam 27 Januari ini di Bulatan Amanjaya di sini.

 Beliau turut memberitahu, walaupun beberapa pembaharuan dilaksanakan di Stadium Perak, pihaknya masih mengekalkan harga tiket iaitu RM25 untuk pentas utama, RM12 terbuka dan RM5 kanak-kanak.