IPOH: Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) menyumbangkan RM15,000 untuk menampung kos memasang implan ‘Implantable Cardioverter Defibrillator’ (ICD) di jantung bekas pemain bola sepak Perak yang juga penjaga gol hoki kebangsaan, Ahmad Sofian Zulkifli.

Sumbangan itu diumumkan oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang juga Presiden PAFA ketika melawat Ahmad Sofian yang dirawat di sebuah hospital swasta di sini petang semalam.

Turut hadir Exco Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Datuk Shahrul Zaman Yahya yang juga Presiden Kesatuan Ragbi Malaysia dan Exco Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia Perak,
Khairul Shahril Mohamed.

Ahmad Faizal dalam kenyataan di laman Facebook miliknya turut menyatakan komitmen kerajaan negeri Perak untuk menyalurkan bantuan susulan yang diperlukan.

Ahmad Sofian dikatakan memerlukan dana sebanyak RM70,000 bagi kos perubatan itu.

Sebelum ini media melaporkan Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) akan menyalurkan bantuan sebanyak RM20,000 bagi menampung kos pembelian ICD.

Sementara itu, Ahmad Sofian dan isteri, Hamizah Osman merakamkan penghargaan buat PAFA dan semua pihak yang prihatin dengan nasibnya.

‘Semoga segala urusan Ahmad Sofian dipermudahkan dan kembali pulih sepenuhnya,” kata Ahmad Faizal.