IPOH: Walaupun dipalit pelbagai kontroversi, Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) akan tetap menganjurkan sambutan kemenangan Piala Malaysia.

Bagaimanapun bentuk sambutan, seperti sama ada diarak di daerah-daerah atau di satu tempat, hanya akan diputuskan oleh mesyuarat
Jawatankuasa Eksekutif PAFA yang dijangka minggu hadapan.

Setiausaha Agung PAFA, Abdul Aziz Yeop Jamaludin berkata, pada masa sama, pihaknya juga perlu melihat kesesuaian masa Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu.

Menurut beliau, mereka juga mungkin merancang untuk mempersembahkan piala tersebut kepada Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

“Tarikh, masa dan tempat akan diputuskan dalam mesyuarat Exco (PAFA) nanti,” katanya pada sidang media di pejabat PAFA di sini, hari ini.

Abdul Aziz memberitahu, walaupun para pemain Perak sedang bercuti tetapi mereka telah memberi komitmen untuk bersama-sama hadir pada sambutan yang akan diadakan.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas mengenai desakan pihak tertentu supaya Presiden PAFA, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim meletakkan jawatan ekoran kontroversi mengenai piala berprestij itu.

Abdul Aziz turut mengesahkan bahawa Piala Malaysia kini telah selamat berada dalam simpanan di pejabat PAFA sejak Khamis lalu.

Beliau menjelaskan, pihaknya memang bercadang untuk membawa balik piala itu ke Ipoh selepas perlawanan akhir pada 27 Oktober lalu.

Bagaimanapun, ujarnya, Presiden PAFA dan pengurus pasukan telah dijemput ke program sukan sebuah stesen televisyen yang turut membawa piala tersebut.

Abdul Aziz turut memaklumkan bahawa PAFA telah menyerahkan sebahagian insentif kemenangan Piala Malaysia kepada 18 pemain pada Rabu lalu dan bakinya akan diputuskan oleh Presiden.

“Biarlah Presiden atau Menteri Besar sendiri yang membuat pengumuman mengenai jumlah insentif itu,” tambahnya.