GERIK – Kerajaan melalui Jabatan Perhilitan membelanjakan RM4.5 juta bagi membina Sistem Pagar Elektrik Gajah (SPEG) di lima kawasan Parlimen Gerik iaitu Lenggong, Bersia, Rancangan Penempatan Semula (RPS) Banun, Sungai Siput dan Jalanraya Timur Barat (KM157).

Adun Pengkalan Hulu, Aznel Ibrahim berkata, jumlah itu tidak termasuk RM60,000 yang digunakan untuk memasang SPEG mudah alih di tiga kawasan di Sungai Siput dan Bersia.

Menurutnya, pembinaan pagar elektrik ini antara kaedah berkesan dalam menangani konflik manusia dengan gajah terutama dalam tindakan pemuliharaan haiwan itu..

“Kehadiran haiwan ini menyebabkan tanaman yang menjadi sumber pendapatan penduduk terancam, sesetengah daripada mereka mungkin menggunakan kaedah menghalau yang berbahaya untuk melindungi tanaman mereka.

“Jadi dengan adanya pagar elektrik dan translokasi gajah, ia mengurangkan konflik antara kedua-dua pihak,” katanya selepas merasmikan Majlis Kesedaran dan Mitigasi Konflik Manusia-Gajah di Sekolah Kebangsaan (SK) RPS Banun, semalam.

Hadir sama, Pengarah Perhilitan Perak, Loo Kean Seong dan Pengarah Bahagian Konservasi Biodiversiti Perhilitan, Dr Pazil Abdul Patah.

Aznel berkata, selain SPEG, penduduk kampung juga telah diperkenalkan kepada kaedah penggunaan lampu LED yang merupakan satu lagi inisiatif baharu, langkah menghalang gajah memasuki kawasan kampung.

Katanya, ia diedarkan kepada penduduk kampung dan mereka bertanggungjawab menghidupkan LED tersebut pada waktu malam.

“Inisiatif ini penting untuk melatih dan melibatkan penduduk kampung dalam pengurusan konflik manusia-gajah tanpa bergantung sepenuhnya kepada Jabatan Perhilitan.

“Dalam hal ini, masyarakat perlu mengubah sikap dan bekerjasama untuk tindakan pemuliharaan yang lebih berkesan, lebih penting generasi muda perlu dididik mempelajari sejarah semula jadi, biologi dan kepentingannya menyelamatkan gajah,” katanya.

-Sinarharian