Oleh: Aida Aziz

PANGKOR: Tempoh sembilan tahun bersama-sama Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) di Perak cukup bermakna buat Badan Amal dan Usaha Isteri Negeri Perak (Baiduri) apabila mereka berpeluang melihat pelbagai kemajuan yang dicapai oleh pusat berkenaan.

Pelbagai peristiwa pahit manis diharungi oleh para penyelaras Baiduri sebelum mereka mampu mencapai matlamat mengupayakan golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) di pusat tersebut.

Perkara itu diakui sendiri oleh Yang DiPertua Baiduri, Datin Seri Saripah Zulkifli ketika menceritakan semula titik permulaan dalam memegang amanah sebagai Pengerusi Semai Bakti Perak.

“Masih segar dalam ingatan saya dan rakan-rakan Baiduri ketika mula-mula menziarahi semua 36 buah PDK ketika itu, ada sesetengah PDK yang keadaannya begitu daif dan tidak sesuai untuk pelatih OKU.

“Pejam celik sudah sembilan tahun kami memegang amanah ini bersama-sama dengan rakan-rakan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Perak dan Pengerusi PDK setiap daerah di Perak.

“Alhamdulillah sudah banyak perubahan yang kita capai setakat ini,” katanya ketika ditemui pada majlis perasmian PDK Permata Ilham di sini, hari ini.

9tahun-baiduri 5

Hadir sama, Pengerusi PDK tersebut, Asmadi The; penyelaras Baiduri dan ahli komuniti Pulau Pangkor.

Dalam pada itu, Saripah berkata, program ziarah kasih di daerah Manjung dan kawasan DUN Pulau Pangkor merupakan persinggahan terakhir sempena program Permukiman Menteri Besar.

“Sudah tiga kali kami mengadakan program ziarah ke semua PDK di Perak dan sememangnya, banyak pengalaman kami tempuhi, yang paling jauh rasanya di Pengkalan Hulu.

“Tetapi kami tidak merasakan ia satu bebanan kerana apa yang lebih penting ialah menunaikan amanah yang diberi,” katanya.

Saripah berkata, penambahan PDK daripada 36 kepada 41 buah setakat ini membuktikan kejayaan pengurusan pusat tersebut dalam mempertingkatkan prestasi pelatih OKU.

Terdahulu, Saripah dan rombongan Baiduri melawat ke PDK Pangkalan TLDM Lumut dan PDK Sri Manjung bagi melengkapkan program ziarah kasih di daerah tersebut.