PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan menambah bilangan pakar dalam penjagaan kesihatan jantung untuk memastikan perkhidmatan terbaik selain jumlah pesakit jantung yang semakin meningkat.

Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye, berkata bilangan pakar perubatan kardiologi atau jantung di hospital kerajaan setakat ini hanya 30 hingga 40 orang dan KKM memerlukan kira-kira 120 hingga 150 pakar jantung untuk berkhidmat di sembilan pusat rawatan jantung di seluruh negara.

Beliau berkata, KKM sudah menyediakan pelbagai latihan dan seminar khusus kepada doktor supaya mereka lebih berminat untuk menjadi pakar jantung.

“Selepas latihan ini, mereka akan ditempatkan di pusat rawatan jantung seperti di Hospital Serdang bagi mempersiapkan diri dan kami percaya dengan latihan serta peluang yang diberikan dapat melahirkan lebih ramai pakar jantung,” katanya selepas merasmikan 9th National Acute Myocardial Infarction Course (NAMIC) anjuran Jabatan Kardiologi, Hospital Serdang di sini, hari ini.

Dr Lee berkata, kes penyakit jantung di negara ini semakin meningkat dengan warga emas paling banyak mengalaminya.

Katanya, peralatan dan kemudahan di pusat rawatan jantung di negara ini berada pada tahap memuaskan namun perlu penambahbaikan.

“KKM akan memastikan peruntukan untuk bekalan barang rawatan akan disalurkan dengan sebaiknya supaya rawatan dapat diberikan dengan cepat dan baik,” katanya.

Beliau memberi contoh Hospital Serdang kini menyediakan rangkaian perkhidmatan di beberapa kawasan sehingga ke Negeri Sembilan dan ini dapat membantu memberi rawatan dalam masa singkat. – BERNAMA