IPOH – Pakatan Harapan (PH) Perak akan membentuk kerajaan negeri apabila berjaya memperoleh majoriti mudah selepas memperolehi 31 daripada 59 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Pengerusi PH Perak, Ahmad Faizal Azumu berkata, pakatan yang dianggotai beberapa parti itu sebelum ini berjaya memenangi 29 kerusi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) telah mendapat tambahan dua lagi kerusi DUN hasil sokongan daripada dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Barisan Nasional (BN).

“Hari ini saya ingin memaklumkan bahawa PH telah mengadap Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan telah menyembah maklum bahawa kita telah berjaya mendapat majoriti cukup untuk menubuh kerajana dan Inysaallah kita akan tubuhkan kerajaan dalam masa terdekat ini.

“Kami dapat sokongan daripada wakil-wakil rakyat dua dorang daripada BN, saya ingat tak perlu saya umumkan dua orang wakil itu sekarang hanya cukup sekadar memberitahu kita mempunyai 31 kerusi ketika ini dan dijangkakan ia akan bertambah dari hari ke hari,” katanya ditemui selepas keluar daripada Istana Kinta untuk mengadap Sultan Perak di sini pada Sabtu.

Mengenai isu siapa yang bakal menjadi Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal berkata perkara itu akan diserahkan kepada majlis presiden Pakatan Harapan pusat untuk memutuskannya.

“Saya tidak pasti berapa nama yang telah disenaraikan sebagai calon oleh majlis presiden, tapi saya percaya ia akan dibincangkan anggota majlis presiden dan dipersembahkan kepada tuanku secepat mungkin.

“Kita hentikan berpolitik dan saya percaya mulai sekarang kita ke hadapan bagi memastikan pembangunan serta perkhidmatan kepada rakyat dapat disempurnakan,” ujarnya.

Dalam masa sama, beliau yang juga Ahli Parlimen Tambun dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chenderiang tidak menolak dirinya juga turut dicalonkan sebagai jawatan nombor satu negeri ini.

Terdahulu, Pengerusi BN Negeri Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dilihat memasuki Istana Kinta untuk mengadap Sultan Nazrin sebelum beredar tidak lama selepas itu kemudian disusuli dengan anggota-anggota DUN PH.

Selepas lebih satu jam memasuki Istana itu, kesemua mereka kemudiannya beredar meninggalkan Istana dan disambut ratusan penyokong PH yang menunggu sejak pagi tadi di hadapan pekarangan bangunan terbabit.

Dijangkakan majlis istiadat mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar Perak akan berlangsung di Istana Iskandariah Kuala Kangsar sekitar jam 5 petang, hari ini.

Pada PRU-14, PH telah memenangi 29 kerusi DUN manakala BN telah memenangi 27 kerusi DUN manakala Pas hanya berjaya memenangi tiga. Namun ketiga-tiga pihak tidak boleh membentuk kerajaan kerana tidak mempunyai majoriti mudah yang ditetapkan iaitu 30 kerusi.