IPOH: Polis meminta mereka yang mempunyai maklumat atau menjadi mangsa tawaran Pakej Haji Pejabat Menteri Besar supaya membuat laporan segera di mana-mana balai polis bagi membolehkan siasatan dijalankan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, Superintendan Lee Ewe Kiang berkata, polis memandang serius perkara itu dan tindakan tegas akan diambil ke atas pihak yang bertanggungjawab.

Menurut beliau, tindakan itu boleh diambil di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaaan bagi kes yang mempunyai unsur penipuan dan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia bagi penyalahgunaan rangkaian internet.

“Pesalah boleh dikenakan hukuman penjara, sebatan atau denda,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.

Kenyataan itu dibuat ekoran pendedahan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir baru-baru ini berkenaan penipuan tawaran pakej haji menggunakan nama pejabat beliau yang ditularkan dalam aplikasi ‘Whatsapp’.

Pihak polis menasihatkan semua pihak supaya jangan mudah terpedaya dengan sebarang berita yang diterima terutama melalui aplikasi ‘ Whatsapp ‘ dan lain-lain rangkaian internet.

“Setiap berita yang diterima hendaklah dirujuk kepada pihak berkaitan bagi mendapatkan pengesahan,” kata Lee.