PARIT: Selepas berjaya melalui cabaran COVID-19 dengan peningkatan hasil jualan produk industri kecil dan sederhana (IKS), komuniti usahawan Daerah Perak Tengah mahu memperkenalkan pakej pelancongan warisan di daerah berkenaan.

Ia adalah pakej pelancongan baharu bagi mengimbangi kesan penularan COVID-19 ke atas perniagaan mereka.

Cadangan yang dicetuskan oleh Institut Agro Usahawan (iGROW) itu mendapat sambutan baik daripada Exco Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia Perak, Khairul Shahril Mohamed yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bota.

“Kita yakin dengan jajaran Sungai Perak yang kita ada banyak perkara menarik yang ada di sini, insya Allah kehadiran pelancong ke Perak Tengah pastinya berbaloi.

“Kita cukup banyak produk yang ada di sini, bukan sekadar IKS nya, tapi juga produk-produk pelancongan serta bersegmenkan pelancongan warisan Melayu.

“Kita ada kombinasinya, kita galeri Nasarudin Rais, Pulau Misa, pelancongan agro dan banyak lagi yang kita boleh eksplotasikan menjadi produk pelancongan yang cukup hebat di Perak,” katanya.

Beliau ditemui selepas menyambut Konvoi Pelancongan Warisan Daerah Perak Tengah di rumah keluarga Nasaruddin Abdul Rais di Kampung Padang Tenggala, dekat sini, hari ini.

Nasaruddin adalah antara tokoh pejuang kemerdekaan negara yang memainkan peranan besar dalam perjuangan mendapatkan kemerdekaan Tanah Melayu antara pertengahan 1940 an hingga 1953.

Sementara itu, Pengerusi Eksekutif iGROW, Nordin Abdul Malek berkata, pengenalan pakej pelancongan warisan di Perak Tengah akan melonjakkan lagi hasil juga komuniti usahawan di daerah berkenaan.

“Kita memang mengharapkan supaya pelancongan ini dapat kita gerakkan secara serius dan segera kerana ini dapat membantu meningkatkan jualan produk-produk tempatan, khususnya IKS kerana kita dapati sekarang, kita banyak bergantung kepada domestik tourism ataupun pelancong-pelancong dalam negara yang minat mereka ni kebanyakkannya ada tiga saja.

“Yang pertama mereka mahu berjalan-jalan walaupun sehari, kedua makanan dan membeli belah,” ujarnya.

Menurutnya, Perak Tengah mempunyai banyak makanan warisan yang telah dimodenkan cara pembuatan di samping cenderamata yang boleh dibeli oleh pelancong.

Beliau yakin, pakej pelancongan warisan itu juga akan mendapat limpahan daripada pengisytiharan Pangkor sebagai pulau bebas cukai sejak 1 Januari 2020.