IPOH, 5 Dis: Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) Perak bernilai lebih RM120 juta dilaksanakan bagi melindungi rakyat dan memulihkan ekonomi negeri dalam menghadapi kesan Covid-19.

Menurut Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, PRE itu diberikan kepada empat sektor utama iaitu perniagaan, pertanian, pendidikan dan pelancongan yang terjejas ekoran penularan wabak Covid-19.

“Dalam PRE ini, sektor perniagaan menerima peruntukan tertinggi RM36.8 juta meliputi bantuan one-off RM1,000 kepada peniaga dan penjaja kecil berdaftar yang dibayar dua kali.

“Ia juga meliputi pengecualian sewa gerai Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk tempoh empat bulan dan inisiatif diskaun bil air kepada pengguna perniagaan serta industri,” katanya pada sidang media khas di Laman Seri Ridzuan di sini, hari ini.

Menurut Ahmad Faizal, sektor pertanian menerima peruntukan kedua tertinggi berjumlah RM15.6 juta meliputi bantuan kepada penternak akuakultur dan nelayan, Kempen Bumi Hijau dan Projek Pertanian Bandar.

Katanya, sebanyak RM13.4 juta disediakan bagi menambah baik sektor pendidikan dan modal insan dengan meliputi pengecualian bayaran balik Pinjaman Pendidikan Negeri Perak bagi tempoh Mac hingga Mei 2020.

“Selain itu, pelaksanaan program re-skilling dan up-skiling turut dilaksanakan kepada golongan yang kehilangan pekerjaan serta hilang punca pendapatan berikutan kelembapan ekonomi,” ujarnya.

Tambah beliau, untuk sektor pelancongan pula, peruntukan berjumlah RM10.8 juta diberikan bagi pengecualian bayaran pembaharuan lesen hotel dan naiktaraf infrastruktur pelancongan.

Manakala, Ahmad Faizal berkata, bagi sektor kesihatan, peruntukan berjumlah RM7.1 juta disediakan meliputi bantuan kelengkapan perubatan, makanan, kelengkapan pusat kuarantin dan Isolation Care Centre (ICC) serta bayaran elaun khas petugas barisan hadapan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Ujarnya, sektor kebajikan dan sosial pula menerima keseluruhan peruntukan berjumlah RM14.4 juta bagi membiayai Bantuan Kotak Makanan dan bantuan sosial kepada rakyat terkesan termasuk Orang Asli.

Ia juga meliputi pengecualian bayaran sewa Projek Perumahan Rakyat (PPR), Skim Rumah Insan Aman Jaya (SRIA) dan Rumah Harapan, katanya.

Menurut beliau, Kerajaan negeri juga telah menyalurkan Bantuan Sosial Dan Kotak Makanan berjumlah RM130,000 kepada 59 ADUN di Negeri Perak dan bantuan tersebut diagihkan secara berfasa bermula 23 Mac 2020.

Sementara itu, Ahmad Faizal juga memaklumkan, insentif berkaitan cukai dan premium tanah meliputi pengecualian denda lewat bagi cukai tanah berulang, pemberian diskaun tunggakan cukai dan diskaun premium tanah sehingga 31 Disember 2020.