Parit Buntar: Beberapa pemancing terkejut apabila objek terapung yang ditemui ketika memancing di atas jambatan Kuala Kurau, jam 3.20 pagi tadi adalah mayat seorang lelaki.

Saksi, Muhammad Izzat Aiman Abdul Rashid, 22, bersama beberapa rakan sedang leka memancing sebelum mendapati ada objek terapung.

Curiga dengan objek berkenaan, dia kemudiannya melaporkan penemuan kepada Balai Polis Kuala Kurau.

Ketua Polis Daerah Kerian Superintendan Mazuki Mat berkata, pihaknya dengan bantuan Pasukan POlis Marin Kuala Kurau kemudiannya berusaha mengesan objek terbabit di perairan Kuala Kurau.

“Pada jam 11.15 pagi, kami menemui mayat lelaki tersangkut pada sangkar ikan, kira-kira 500 meter dari jambatan Kuala Kurau.

“Mangsa disahkan sebagai Ong Chan Ooi, berusia 38 tahun yang juga penduduk tempatan,” katanya.

Mayat dibawa ke Hospital Parit Buntar untuk bedah siasat.

“Pemeriksaan tidak menemui sebarang unsur jenayah. Kami turut menemui wang RM334.50 di poket kiri seluar pendek mangsa,” katanya.

Menurut beliau, berdasarkan maklumat keluarga lelaki itu, dia keluar rumah jam 12.40 tengah malam Selasa lalu.

“Keluarga memaklumkan, mangsa berdepan masalah mental sejak empat tahun lalu dan mendapatkan rawatan penyakit itu setiap tiga bulan.

“Kali terakhir, mangsa mendapatkan rawatan pada 7 Ogos lalu di Hospital Parit Buntar. Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.