IPOH: Dialog Pembangunan Antarabangsa Pangkor (PIDD) yang memasuki fasa kelima penganjurannya, terus diyakini mampu melonjakkan nama Perak di persada dunia.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, keyakinan itu berlandaskan kepada pencapaian beberapa bandar yang kini dikenali dunia dengan niche tersendiri seperti San Diego dan Nevada.

“Sebagaimana yang berlaku di San Diego, Amerika Syarikat yang membangun dengan pesat selepas menganjurkan persidangan antarabangsa mengenai bioteknologi yang akhirnya menarik pelaburan hampir RM850 bilion.

“Begitu juga dengan bandar Nevada, AS yang mula menganjurkan program dan konvensyen berskala besar untuk menarik pelaburan.

“Pendekatan berlandaskan ilmu sebeginilah yang kita ambil untuk mencapai matlamat kita dalam membangunkan negeri dan menarik pelaburan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Temasya Idea Perak yang diadakan sempena PIDD2017 di Bulatan Amanjaya di sini, malam tadi.

Dalam ucapan pelancarannya, Dr Zambry berkata, PIDD yang merupakan satu-satunya program seumpamanya di rantau Asia bakal menampilkan tokoh-tokoh dunia dan pakar-pakar dalam bidang masing-masing.

FOI 2

“Mereka ini termasuklah menteri, pemenang Hadiah Nobel, bekas presiden dan kali ini juga, seorang wanita yang merupakan angkasawan yang berada di angkasa lepas selama enam bulan.

“Beliau baru kembali ke Bumi dan beliau akan memberi syarahan di PIDD kali ini,” katanya yang merujuk kepada bekas angkasawan NASA, Dr Catherine Coleman atau lebih dikenali sebagai Cady Coleman.

PIDD2017 dianjurkan oleh Institut Darul Ridzuan akan bermula pada 11 dan 12 September ini di Pusat Konvensyen Amanjaya (AJCC) di Meru Raya.

Selain Dr. Coleman, tokoh ternama yang bakal membentangkan idea mereka ialah Datuk Bandar Oklahoma City, Mick Cornett; pengasas Honeybee Network India, Prof Dr Anil Gupta; bekas Presiden Ecuador, Jorje Jamil Mahuat Witt dan pemegang rekod Paralympics dari Singapura, Dr William Tan.

Temasya Idea Perak pula yang bermula pada 7 September lalu menyasarkan penyertaan lebih 30,000 orang dalam 73 aktiviti dan acaranya berperanan menyemarakkan aura PIDD agar dirasai oleh segenap lapisan masyarakat di Perak.

Promosi dalam pelbagai saluran khususnya platform media sosial menyaksikan sambutan hangat diterima daripada penduduk dan pengunjung di negeri ini.

FOI 3