PARIT BUNTAR – Seorang bapa panik apabila anak perempuannya berusia empat tahun terperangkap dalam kereta selepas pintu kereta berkenaan terkunci sendiri dalam kejadian di ruang tempat letak kereta sebuah pasar raya di sini, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.24 petang itu, bapa kanak-kanak berkenaan membawa anaknya untuk membeli barang sebelum kereta jenis Perodua Viva itu terkunci sendiri ketika keluar dan menghubungi bomba bagi mendapatkan bantuan.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Parit Buntar, Abd Halim Mansor berkata, seramai lima anggota dikejarkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 5.24 petang.

“Setibanya ditempat kejadian, kita dapati kanak-kanak berkenaan masih terperangkap dengan enjin kenderaan masih hidup.

“Kita berjaya membuka pintu yang terkunci dari dalam menggunakan dawai dan kanak-kanak itu berada dalam keadaan selamat,” katanya.

Menurutnya, kanak-kanak berkenaan berjaya dikeluarkan selepas 15 minit operasi dijalan dan diserahkan kepada keluarganya.

-Sinarharian