TELUK INTAN – Tindakan pembekal bahan binaan menaikkan harga sesuka hati sehingga membebankan kontraktor perlu diberi perhatian oleh kerajaan.

Malah kerajaan juga diminta sentiasa melakukan pemantauan dari semasa ke semasa supaya nasib kontraktor kecil tidak terus ditindas walaupun diberi peluang dengan memperoleh kontrak daripada kerajaan.

Naib Yang Dipertua, Persatuan Kontraktor Bumiputera G1/F (PERKOBF) Perak, Jaafar Mohamed Noor berkata, kenaikan harga tersebut amat membimbangkan serta merunsingkan semua kontraktor dalam negeri ini.

“Tiada guna jika kami kontraktor kecil menerima kontrak daripada kerajaan tetapi harga bahan binaan terus melambung naik sehingga kekurangan untung.

“Kenaikan harga bahan binaan bukanlah sedikit tetapi banyak di mana ada yang naik sehingga 30 peratus sejak kebelakangan ini,” katanya.

Beliau turut memberi contoh bahan binaan yang mengalami kenaikan harga seperti simen 50 kilogram mengalami kenaikan dari RM13 kepada RM16.

“Begitu dawai untuk membina pagar sepanjang 50 meter yang bersalut dahulu segulung berharga RM150, namun sekarang RM230 segulung dan kenaikannya tidak munasabah.

“Kenaikan ini turut menyebabkan kami kontraktor terpaksa naikkan harga untuk membina rumah dan bila di tanya kenapa naik, pembekal beritahu tidak boleh buat apa sebab harga barang naik,” katanya.

Jaafar berkata, sekiranya masalah ini tidak dipantau oleh kerajaan nasib kontraktor-kontraktor kecil sepertinya akan terus ditindas dengan kenaikan harga melampau oleh pembekal.

“Perlu ada satu mekanisme untuk memantau dan mengawal harga bahan binaan yang ditetapkan sesuka hati oleh pembekal yang mengambil untuk berlebihan,” katanya.

-SinarHarian