KUALA LUMPUR : Peguam kepada anggota Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Wan Muhammad Azri Wan Deris memohon Mahkamah Majistret Kajang mengeluarkan waran tangkap ke atas Syed Saddiq Syed Abdul Rahman kerana gagal hadir untuk perbicaraan kes ‘tisu koyak’.

Beliau yang hadir ke mahkamah itu pagi ini sebagai tertuduh atas kesalahan mencederakan dan mengaibkan Menteri Belia dan Sukan pada Februari lalu kecewa kerana Syed Saddiq yang menjadi saksi utama perbicaraan itu tidak hadir.

Kata beliau, perbicaraan itu bermula hari ini di Mahkamah Majistret Kajang selepas sembilan bulan insiden yang mengemparkan negara itu berlaku.

Wan Muhammad Azri atau lebih dikenali sebagai Papagomo didakwa oleh Pejabat Peguam Negara atas pertuduhan mencederakan dan mengaibkan seorang menteri.

“Saya jangkakan Syed Saddiq hadir di Mahkamah Majistret Kajang jam 9 pagi ini bagi memberi keterangan dalam kes yang beliau laporkan kepada polis pada 16 Febuari lalu,” katanya.

Kata Wan Muhammad, beliau selaku tertuduh sudah siap sedia untuk mendapatkan keadilan yang hak bagi dirinya, isteri dan anak-anak serta yakin rakyat Malaysia mahu mendengar keterangan Syed Saddiq bagaimana insiden tersebut berlaku sehingga memberi kesan kecederaan yang serius ke atasnya akibat leher dicekak sehingga cedera parah.

Syed Saddiq kini dikatakan ada tugasan di luar negara.

Sementara itu, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki meminta Syed Saddiq menghormati undang-undang dengan menghadiri perbicaraan.

Ujar beliau, banyak kali perbicaraan itu ditangguhkan akibat kegagalan menteri berkenaan hadir sebagai saksi utama dalam kes kecederaan ‘tisu koyak’ akibat didakap oleh Wan Muhammad.

“Saya mohon Syed Saddiq hormatilah rule of law yang dia sering canang-canangkan.

“Beliau sendiri yang membuat laporan menyatakan mengalami kecederaan ‘tisu koyak’ (soft tissue injury) akibat didakap oleh Exco saya Sir Azri.

“Akibat laporan polis itu jugalah Sir Azri terpaksa bermalam di lokap untuk beberapa hari sebelum didakwa di mahkamah,” katanya. – MalaysiaGazette