KUALA LUMPUR: Kadar rampasan rokok seludup terus meningkat membabitkan nilai keseluruhan RM294.8 juta bagi tempoh antara 2014 hingga Januari 2018.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Othman Aziz, berkata kegiatan yang berpusat di semua pintu masuk perairan dan darat negara itu menyaksikan kerugian duti cukai menjangkau RM2.27 bilion.

“Oleh itu, langkah penguatkuasaan akan terus diperkukuhkan, termasuk menerusi Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) dengan Polis Diraja Malaysia dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Tindakan tuntas iaitu mengawal rantaian pembekalan rokok haram dan menghukum pihak yang menyalahgunakan kompleks serta pulau bebas cukai turut diambil.

“Selain itu, kita ada dasar menggantung kebenaran ejen penghantaran menerusi Akta Kastam 1967,” katanya menjawab soalan Tan Sri Dr Muhammad Leo Michael Toyad Abdullah (BN-Mukah) di Dewan Rakyat, hari ini.

Muhammad meminta perincian mengenai statistik terkini rampasan rokok seludup bagi tempoh 2014 hingga Januari 2018, selain pendirian kerajaan berhubung cadangan mengembalikan bungkusan ‘kiddie pack’ atau rokok pek mini.

Othman berkata, cadangan diutarakan industri tembakau itu masih dipertimbangkan dengan mengkaji kesan pelaksanaannya terhadap beberapa aspek, khususnya penularan masalah kesihatan dalam kalangan golongan muda.

Katanya, langkah itu perlu kerana Malaysia menandatangani Konvensyen Rangka Kawalan Tembakau Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHOFCDC).

“Kerajaan memutuskan supaya pengeluaran rokok bersaiz pek mini dihentikan menerusi WHOFCDC, selain menubuhkan jawatankuasa Kabinet ke arah persekitaran hidup sihat.

“Antara dasar yang dilaksanakan adalah mewujudkan generasi bebas rokok di sekolah dan institusi pengajian tinggi dengan cara mengukuhkan penguatkuasaan penjualan serta pengedaran produk tembakau haram di pasaran,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Muhammad mengenai pertimbangan meningkatkan kadar hukuman terhadap dalang kegiatan penyeludupan, Othman berkata, kerajaan ketika ini giat memperkukuhkan usaha penguatkuasaan secara menyeluruh.

Beliau berkata, ia termasuk hukuman mandatori, iaitu dengan menggantung lesen ejen penghantaran tanpa melayan sebarang permohonan rayuan apabila mendapati kontena mereka mempunyai kandungan berbeza dengan dokumen pengikraran.

“Kita sedar Malaysia mempunyai kawasan sempadan yang luas, merangkumi jalan air dan darat, sekali gus meningkatkan risiko penyeludupan.

“Sehubungan itu, pelbagai usaha giat dilaksana berteraskan NBOS, merentasi rangkaian jabatan dan agensi penguatkuasaan,” katanya – berita harian