KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak dapat mempertimbangkan permohonan untuk memendekkan tempoh bebas cukai Pulau Pangkor, Perak dari 48 jam ke 24 jam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata tempoh itu ditetapkan bagi membolehkan pelancong mempunyai lebih masa di pulau bebas cukai.

Tempoh 48 jam itu, katanya, ditetapkan bagi memberi faedah ekonomi yang lebih kepada pengusaha termasuk restoran, hotel dan tempat penginapan lain.

“Layanan sama perlu diberi kepada tiga pulau bebas cukai lain iaitu Labuan, Pulau Tioman dan Pulau Langkawi jika kelulusan itu diberikan kepada Pulau Pangkor.

“Jika tempoh bebas cukai dipendekkan kepada 24 jam, kesan ekonomi tidak besar berbanding pelancong tinggal dua hari atau 48 jam di Pulau Pangkor,” katanya.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (BERSATU-Tambun) mengenai status permohonan memendekkan tempoh bebas cukai dan projek naik taraf jeti penumpang Pulau Pangkor di Dewan Rakyat, hari ini.