PUTRAJAYA: Parti khusus untuk golongan muda yang ditubuhkan Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, tidak akan berjaya.

Pandangan itu disuarakan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang berpendapat, setiap parti politik harus mempunyai gabungan orang tua dan orang muda.

Menurutnya, meskipun peratusan orang muda dalam pengundian adalah besar, namun ia masih belum mencukupi untuk mereka memenangi sesebuah kawasan.

“Dalam mana-mana kawasan, mesti kena ada orang tua dan orang muda. Kami akan pergi kepada golongan muda juga.

“Kalau dia (Syed Saddiq) hanya pergi kepada orang muda, agak sukar untuknya berjaya. Tetapi ini adalah negara bebas, dia mahu lakukannya sendiri.

“Dia pernah menjadi penyokong kuat Pakatan Harapan (PH), dan kini, dia rasa perlu bergerak berasingan daripada kami,” katanya pada sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana, di sini, hari ini.

Baru-baru ini, Syed Saddiq mengesahkan tidak akan menyertai Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) yang ditubuhkan Dr Mahathir.

Sebaliknya, menurut bekas ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu, beliau akan menubuhkan sebuah parti politik baharu.

Jelasnya, parti baharu itu akan disertai oleh pelbabagi kaum dengan memberi fokus kepada golongan anak muda. AWANI