IPOH: Polis menasihatkan parti politik yang bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) supaya tidak mengadakan ceramah di kawasan yang berdekatan antara satu sama lain.

Dua atau tiga ceramah yang diadakan serentak di kawasan berhampiran, biasanya boleh menjadi punca ketegangan dan pergaduhan.

Ketua Polis Perak, Datuk Hasnan Hassan berkata, keutamaan polis ialah untuk menjamin keselamatan dan ketenteraman awam terus terpelihara.

Beliau menasihatkan parti-parti politik yang bertanding supaya mematuhi segala peraturan yang telah ditetapkan seperti permohonan permit kempen dan bahan-bahan berkempen.

“Semua banner, risalah, poster hendaklah dipastikan tidak mengandungi unsur-unsur yang berkecenderungan menghasut, mengaib agama, budaya serta berkemungkinan menimbulkan ketegangan atau gangguan pada ketenteraman awam.

“Sekiranya terdapat mana-mana orang memasang banner, bendera, poster, risalah yang demikian rupa, pihak polis tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan di bawah mana-mana undang-undang yang wujud semasa ini, termasuk Akta Hasutan, Akta Polis dan Kanun Keseksaan, mengikut kesesuaian kes,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media khas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini, hari ini.

Hasnan memberitahu, Perak mempunyai lebih 1.4 juta pengundi dengan 778 pusat mengundi di seluruh negeri.

Menurutnya setakat ini polis Perak telah mengklasifikasikan lima daerah, 31 kawasan Dewan Undangan Negeri dan 19 kawasan Parlimen sebagai kawasan tumpuan atau hotspot.

Bagaimanapun, kata beliau, kawasan-kawasan itu akan berubah-ubah dari semasa ke semasa. berdasarkan laporan yang diterima.

Menurutnya, pihak polis telah bersiap sedia untuk menghadapi PRU-14 dengan kekuatan 8,000 pegawai dan anggota polis di samping yang bertugas seperti biasa di balai masing-masing.

1/2