KUALA LUMPUR: PAS hari ini mengajak Ahli Parlimen daripada UMNO, yang dikatakan menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim, kembali menghayati hasrat dan iltizam disepakati PAS dan UMNO di bawah kerjasama Muafakat Nasional (MN).

Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan, berkata MN diwujudkan atas dasar dan matlamat menyatupadukan umat Islam di negara ini, selain mengalahkan Pakatan Harapan (PH) yang disertai PKR, DAP dan Amanah.

Justeru, jika benar spekulasi bahawa sebahagian Ahli Parlimen UMNO berubah sokongan, maka mereka jelas tidak mematuhi persefahaman dan persetujuan yang termaktub dalam piagam Muafakat Nasional yang dimeterai pada 14 September 2019, katanya dalam kenyataan.

Takiyuddin juga berharap kepimpinan UMNO dapat memberikan penjelasan berhubung spekulasi itu.

Sekiranya perubahan sokongan ini benar-benar berlaku, ini adalah gerakan untuk menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang dibina atas muafakat Barisan Nasional (BN), Bersatu, PAS, Parti Gabungan Sarawak serta beberapa parti lain, katanya.

Rabu lepas, Anwar yang juga Presiden PKR dan Ketua Pembangkang, mendakwa mendapat sokongan yang “kukuh dan meyakinkan” untuk membentuk Kerajaan Persekutuan yang baharu.

Pada hari sama, Presiden UMNO selaku Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, mengakui mendapat maklumat ada beberapa Ahli Parlimen UMNO menyokong Anwar.

Ahmad Zahid juga dilaporkan berkata, sokongan ahli Dewan Rakyat UMNO terhadap Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bersifat individu kerana UMNO dan BN bukan parti komponen PN.

Sementara itu, media melaporkan ada 19 Ahli Parlimen UMNO yang dikatakan menyokong Anwar.

Sementara itu, Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, melihat kenyataan Ahmad Zahid dibuat dalam konteks peribadi Presiden UMNO itu dan tidak akan menjejaskan hubungan antara parti dalam MN.

“Parti boleh beritahu kepada ahli parlimen untuk patuh tetapi kalau individu itu mahu buat keputusan, itu hak masing-masing… jadi, dalam konteks ini, hubungan dalam MN tidak terjejas,” katanya yang juga Menteri Alam Sekitar dan Air.

Tuan Ibrahim yang menyifatkan tindakan Anwar sebagai “Sindrom September”, berkata kiranya benar Ketua Pembangkang itu mempunyai “angka”, maka beliau harus mengikut prosedur.

“Kita ada peraturan, undang-undang dan Perlembagaan. Setiap orang boleh isytiharkan tapi yang penting, rakyat nak tengok,” katanya.

Tuan Ibrahim sekali lagi menegaskan bahawa PAS tetap berdiri teguh menyokong kepimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Selain itu, beliau berkata, sambutan ulang tahun Muafakat Nasional akan diadakan selepas Pilihan Raya Negeri Sabah, sekali gus menerima secara rasmi kemasukan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) pimpinan Muhyiddin dalam gabungan tersebut.

Untuk rekod, pada 2008, Anwar pernah menyatakan perkara sama iaitu mempunyai “angka” untuk mengambil alih Putrajaya pada 16 September tahun berkenaan. – BERNAMA