GOPENG: Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bertegas pendirian parti itu yang mahu bertanding di 130 kerusi parlimen pada PRU-14 depan bukan satu “angan-angan Mat Jenin” seperti yang didakwa.

Kata beliau, sebaliknya perumpamaan “angan-angan Mat Jenin” itu lebih sesuai digunakan kepada parti yang tidak mempunyai cawangan yang kuat serta ahli akar umbi yang lemah.

“Orang mengatakan kita mat jenin, (lazimnya) Mat Jenin ini panjat pokok (dan) bergantung di pelepah yang rapuh kemudian jatuh, tetapi pelepah kita tidak rapuh, kita ada kawasan dan cawangan-cawangan yang kuat.

“Hari ini di 195 kawasan seluruh Malaysia PAS mempunyai ahli hampir 1 juta, kita ada tunjang yang kuat, cawangan yang kuat..kita bukan Mat Jenin, orang lain yang Mat Jenin,” katanya ketika berucap merasmikan Wisma Purnama PAS Kawasan Gopeng, di sini pada Sabtu.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) dan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengibaratkan hasrat dipasang PAS untuk bertanding di 130 keruasi parlimen sebagai angan-angan Mat Jenin, baru-baru ini.

Dalam pada itu, ketika sidang media sejurus program perasmian berkenaan selesai,  beliau juga menemplak kenyataan Naib Presiden PKR, Prof Dr Shaharuddin Badaruddin yang mendakwa gabungan antara PAS dan Parti Ikatan Bangsa Malaysia sukar untuk membentuk kerajaan.

“Dia orang luar, dia tak tahu sukar atau tidak..kita sendiri yang memikul tanggungjawab dan kita rasa semakin hari semakin baik dan makin hari makin kuat,” kata beliau.

Ditanya mengenai peluang calon-calon PAS untuk menang di Selangor berikutan kegagalan Pakatan Harapan negeri itu mencapai katas putus mengenai pengagihan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pula, Abdul Hadi berkata, ia akan bergantung kepada kesungguhan calon-calon parti itu sendiri.

“Peluang itu terpeluang kepada jentera PAS Selangor untuk bekerja lebih kuat, PAS tidak akan bergantung kepada kelemahan parti lain, kita perlu membina kekuatan sendiri,” ujarnya ringkas.