IPOH: PAS mencadangkan supaya prosedur operasi standard (SOP) pengurusan masjid diperluaskan ke masjid-masjid kariah di seluruh negeri dan elaun pegawai masjid – imam, bilal serta siak disalurkan melalui akaun jawatankuasa pengurusan masjid.

Timbalan Pesuruhjaya III Perak, Radzi Zainon berkata, beliau difahamkan setakat ini, prosedur itu hanya digunakan di peringkat masjid daerah dan masjid negeri.

Menurut beliau, dengan adanya prosedur itu, pengurusan masjid kariah di seluruh negeri juga akan lebih tersusun manakala penyaluran elaun imam, bilal dan siak ke akaun pengurusan masjid boleh membetulkan penugasan pegawai berkenaan.

“Sepanjang tinjauan saya ke seluruh negeri, apa yang perlu diperbetulkan ialah dari segi penugasan, imam, bilal dan siak,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Hadir sama Setiausaha PAS Perak, Mohd Zawawi Abu Hassan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gunung Semanggol dan ADUN Titi Serong, Abu Bakar Hussian.

Radzi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Rapat berkata, pernah berlaku azan solat Subuh tidak kedengaran di Masjid Negeri yang juga mungkin boleh berlaku di masjid-masjid lain.

Menurut beliau, sebagai pegawai masjid, imam, bilal dan siak sepatutnya menunjukkan contoh yang baik dengan mengerjakan solat berjemaah di masjid, walaupun mereka tidak bertugas pada hari-hari tertentu.

Sementara itu, Zawawi berkata, PAS mahu Bajet 2018 Perak seimbang dari segi pembangunan fizikal dan juga modal insan.

“Peruntukan RM10 juta yang diberikan bagi pembinaan baru dan baik pulih masjid dan surau adalah satu usaha yang baik, namun persoalannya bagaimana pula bentuk pengurusan masjid,” ujarnya.
Beliau memberi contoh, terdapat beberapa kes yang menunjukkan orang Islam sendiri tidak menunaikan solat Jumaat, bahkan ia seakan menjadi kebiasaan tanpa merasai ia adalah satu kesalahan dan dosa.

Dalam hubungan itu, Abu Bakar mencadangkan supaya Seksyen 23 Enakmen Jenayah Islam dipinda supaya mereka yang tidak menunaikan solat Jumaat boleh diambil tindakan, tanpa perlu menunggu tiga kali berturut-turut.