IPOH: PAS Perak akan memastikan ahli parti itu keluar mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim dan mengundi calon yang mewakili Perikatan Nasional (PN). 

Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria berkata, meskipun calon bukan daripada parti itu, kesepakatan antara semua kompenan sudah dicapai bagi memastikan kemenangan kepada PN.

“Mungkin penglibatan tidak secara menyeluruh tetapi kita akan pastikan pengundi PAS pada pilihan raya umum (PRU) lalu dan yang baru berdaftar keluar mengundi dan memberikan undi kepada calon PN. 

“Kita dah pun mulakan gerakan ini termasuk jentera di peringkat bawah menerusi beberapa mesyuarat bersama UMNO,” katanya kepada pemberita hari ini. 

Menurutnya, PAS turut menempatkan bilik gerakan operasinya di setiap pusat daerah mengundi bagi memastikan kelancaran proses PRK berkenaan. 

“Saya difahamkan MCA dan MIC juga akan menempatkan bilik gerakan mereka untuk menjaga ahli masing-masing, walaupun begitu kita tetap mengarah kepada tujuan yang sama iaitu apabila ke peti undi, kita akan pastikan undi itu untuk calon PN,” ujarnya.

Terdahulu Razman yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, NGO dan Masyarakat Sivil menyempurnakan pelancaran Kursus Asas Tadbir Urus dan e-Sistem NGO di Institut Tadbiran Islam Perak (Intim) di sini. 

Kerusi DUN Slim kosong selepas penyandangnya, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib daripada Barisan Nasional (BN) meninggal dunia akibat serangan jantung pada 15 Julai lalu. 

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 15 Ogos sebagai hari penamaan calon, diikuti pengundian awal pada 25 Ogos dan pengundian sebenar pada 29 Ogos.

UMNO telah mengesahkan meletakkan wakil bagi menghadapi PRK DUN Slim, keputusan itu dicapai menerusi perbincangan antara BN, Muafakat Nasional dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).