IPOH: Ketika Umno mengemukakan enam nama untuk calon Exco Perak, Pas pula mengemukakan nama kesemua tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mereka kepada Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu untuk dipertimbangkan sebagai exco.

Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria berkata, tiga nama itu termasuk beliau sendiri selaku ADUN Gunung Semanggol, ADUN Selama, Mohd Akmal Kamaruddin dan ADUN Kubu Gajah, Khalil Yahaya.

Menurut beliau, pihaknya menyerahkan keputusan untuk melantik exco kerajaan negeri tersebut kepada Ahmad Faizal.

“Kami hanya ada tiga orang sahaja ADUN, kita hantar ketiga-tiganya kepada Menteri Besar Perak di atas kebijaksaan beliau dan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah untuk memilih.

“Matlamat kita adalah untuk memberikan kesejahteraan supaya kerajaan negeri boleh ditadbir dengan baik,” katanya hari ini.

Terdahulu, Pengerusi UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, berdasarkan persetujuan antara parti gabungan Perikatan Nasional UMNO diberikan enam orang, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dua orang dan Pas juga dua orang.

Dalam pada itu, Razman memberitahu, semua Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti), Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam (SRITI) dan Sekolah Menengah Integrasi Teras Islam (SMITI) akan ditutup seperti arahan yang dikeluarkan oleh kerajaan.

Katanya, Pas Perak akan akur dengan segala ketetapan dibuat oleh kerajaan berhubung langkah pencegahan penularan Koronavirus (Covid-19) yang sedang melanda seluruh dunia ketika ini.

Beliau berkata, selain itu semua ahli Pas diminta supaya membaca Qunut Nazilah setiap kali solat fardu memohon kepada Allah supaya penularan COVID-19 dapat dihentikan segera.