IPOH – PAS Perak akan meletakkan empat calon bukan Islam untuk mewakili parti itu bagi kerusi DUN pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria berkata, pihaknya juga akan bertanding di kesemua kerusi DUN negeri itu dengan pecahan 43 kerusi daripada calon PAS manakala 16 lagi kerusi daripada calon dalam Gagasan Sejahtera.

Bagi 24 kerusi parlimen pula, 19 akan ditandingi oleh calon PAS manakala selebihnya dari calon parti-parti dalam Gagasan Sejahtera.

“PAS mempunyai calon pelbagai latar belakang, profesional, muda, muslimat dan ada juga ulama serta penyokong bukan Islam.

“Kita memahami senario politik Malaysia memerlukan gabungan pelbagai latar belakang serta pengalaman untuk memerintah negeri, jadi calon-calon kita kemukakan ini dianggap sesuai,” katanya pada satu sidang media khas di sini pada Rabu.

Menurut beliau, dengan keahlian lebih dari 95,000 di 790 cawangan sekitar Perak, pihaknya yakin PAS mampu membentuk kerajaan negeri secara bersendirian pada PRU-14.

Pihaknya akan menyasarkan untuk menang sekurang-kurangnya 30 kerusi yang akan dipertandingkan.

“Kita yakin dengan kemampuan kita, ini menunjukkan PAS mempunyai jentera yang cukup bukan sahaja untuk menghadapi PRU-14 malah mampu menyusun tenaga pentadbiran di semua peringkat,” ujarnya.

Tambah beliau, pihaknya akan melancarkan manifesto di peringkat negeri dengan sembilan teras utama seperti ekonomi, pendidikan dan Infrastruktur dalam masa terdekat.

“Kita akan tunggu PAS pusat melancarkan manifesto mereka dahulu kemudian baru kita lancarkan manifesto di peringkat negeri serta kawasan yang selari juga dengan pusat,” tambah beliau.