IPOH – PAS Perak akan mengadakan mesyuarat di peringkat pusat bagi menentukan syarat-syarat yang perlu diakur oleh mana-mana pihak yang ingin bekerjasama untuk membentuk kerajaan campuran di negeri ini.

Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria berkata, antara syarat yang perlu diakur oleh pihak-pihak terlibat termasuk bersetuju dengan hasrat PAS untuk pelaksanaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (aKTA 355).

“PAS jadi penentu kerajaan yang ingin dibentuk di mana asas kepada kerjasama ini ialah perlu seiring dengan matlamat perjuangan PAS dan ia tidak boleh terhalang.

“Kerjasama bersyarat akan dikeluarkan dan syarat-syarat itu sedang kita bincangkan di mana buat masa ini secara tidak rasmi, kita belum ada apa-apa syarat.

“Cuma kita tetapkan syarat perbincangan di mana antara syaratnya tidak boleh menghalang perjuangan Pas macam dulu kita dihalang (laksana Akta 355),” katanya ketika ditemui selepas mengadakan perjumpaan dengna pimpinan Barisan Nasional (BN) Perak di sini pada Khamis.

Tambah beliau lagi, sebagai penentu kepada sebuah kerajaan gabungan di negeri ini, PAS pastinya mahu memilih parti yang boleh memberi kerjasama sepenuhnya dalam memperjuangan Islam demi kesejahteraan ummah.

“Jika untuk umat Islam pun dia (parti politik) tidak sokong, jadi kita tak boleh bersama. Ini adalah matlamat kita,” ujar beliau.

Justeru itu, beliau berkata pihaknya akan mendapatkan mandat terlebih dahulu daripada pihak pimpinan esok untuk menyegerakan proses membentuk sebuah kerajaan gabungan.

“Satu tahlulisasi perlu diadakan bagi menyelesaikan situasai yang berlaku di Perak bagi membentuk sebuah kerajaan gabungan.

“Kita pernah mengjangkakan situasai seumpama ini akan berlaku dan PAS akan menjadi King Maker, maka mana-mana parti yang boleh membantu memperjuangkan matlamat perjuangan PAS kita akan bersatu,” kata beliau.

Kedudukan kerusi DUN Perak ketika ini memihak kepada Pakatan Harapan dengan 29 kerusi manakala BN 27 kerusi dan PAS tiga kerusi. Angka itu masih belum cukup untuk mana-mana parti menubuhkan kerajaan negeri.

BERITA BERKENAAN : 23 Calon PKR Di Terengganu Hilang Deposit