IPOH: Semua pihak perlu akur dan menjunjung titah perintah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah tidak mengisytihar darurat dan memberhentikan segala ‘politicking’ yang boleh menganggu kestabilan negara.

Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria berkata, warga Malaysia perlu membuktikan Kesetiaan Kepada Raja dan Negara, Keluhuran Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-undang yang menjadi sebahagian daripada Rukun Negara.

Menurutnya, tidak perlu lagi ada hembusan-hembusan ketidakpuasan hati peribadi atau kelompok yang menjadi hasutan kurang menyenangkan atau menyebabkan cerai-berai.

“Sebaliknya mari eratkan solidariti agar setiap dapat menghadapi cabaran COVID-19 ini dengan selamat, seterusnya memacu ekonomi dan pembangunan negara serta masa depan ke mercu lebih berjaya dan maju,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, titah perintah Yang di-Pertuan Agong supaya seluruh rakyat bersatu padu dan bersatu hati juga mestilah dipatuhi.

Razman berkata, baginda mahu rakyat tanpa mengira latar belakang khususnya fahaman politik, mengenepikan segala perbezaan dan perbalahan.

“Mesej seumpama ini telah dititah perintah baginda sehingga empat kali setakat ini, malah mengajak untuk kita membantu kerajaan dan pihak-pihak berkuasa menghadapi ancaman utama sedang kita semua hadapi ketika ini iaitulah COVID-19.

“Sekiranya kita gagal membendung wabak ini, keselamatan diri dan kesejahteraan negara kita cintai ini akan terancam,” ujarnya.

Katanya, titah perintah baginda mewakili perkenan perbincangan khas Majlis Raja-raja, setelah diperhalusi dan dilihat secara menyeluruh situasi negara ketika ini.

“Paling utama, Raja-Raja Melayu telah memperakui keupayaan kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk terus melaksanakan dasar dan tindakan penguatkuasaan bagi membendung COVID-19 dari terus merebak,” tambahnya.