BAGAN SERAI: PAS Perak bersetuju dengan cadangan kemungkinan untuk menangguhkan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Gerik seperti di Parlimen Batu Sapi di Sabah.

Walaupun Gerik masih dalam zon hijau, pihak berkuasa tidak seharusnya mengambil risiko untuk meneruskan PRK parlimen itu.

Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria berkata, apa yang berlaku di Sabah adalah suatu pengalaman yang amat memedihkan.

“Rasanya pihak keselamatan dalam negara, MKN, Jabatan Kesihatan, SPR dan juga kerajaan mengambil pengiraan dan harapan kita supaya dianya sama dengan kes di Batu Sapi lah supaya diadakan darurat untuk tempat itu supaya tidak diadakan pilihan raya kecil.

“Apabila habis risiko Covid ini kita adakan lah pilihan raya kita tak perlu mendapat mengambil risiko yang lebih berat kerana untuk menyelesaikan satu masalah yang kecil,” katanya ketika ditemui selepas menyampaikan sumbangan khemah dan kerusi batu untuk surau dan masjid di Gunung Semanggol di sini, hari ini.

Menurutnya, PAS Perak juga bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan sekiranya PRK itu diadakan

Pada Rabu, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengisytiharkan Proklamasi Darurat di Parlimen Batu Sapi, sekali gus membatalkan pilihan raya kecil kerusi itu.

Proklamasi darurat berdasarkan Fasal (1) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan dilakukan selepas memperhalusi penjelasan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mempersembahkan nasihat beliau susulan keputusan mesyuarat Jemaah Menteri berhubung perkara itu.

Dengan pengisytiharan ini juga apa-apa prosiding yang telah bermula bagi maksud perjalanan PRK bagi P.185 Batu Sapi tidak akan diteruskan dengan tujuan mengekang dan menghalang daripada berlakunya gelombang keempat penularan wabak Covid-19 dan satu tarikh yang lain akan ditetapkan untuk PRK tersebut.

Pada Isnin, Ahli Parlimen Gerik, Datuk Hasbullah Osman meninggal dunia di Raub, Pahang dan diikuti Ahli Dewan Undangan Negeri Bugaya, Sabah, Manis Muka Mohd Darah sehari kemudian.

Mengikut Perlembagaan, apabila berlaku kekosongan dalam tempoh tiga tahun pertama, PRK perlu diadakan.