IPOH, 23 DIS: PAS Perak menzahirkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad di atas pelantikan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PAS iaitu Razman Zakaria (Gunung Semanggol) dan Mohd Akmal Kamarudin (Selama) sebagai Exco kerajaan negeri hari ini.

Ketua Penerangannya, Hafez Sabri berkata, PAS Perak komited untuk meneruskan khidmat bakti dan membantu tadbir urus kerajaan negeri demi manfaat rakyat menerusi portfolio yang diberi.

“Nasib golongan nelayan dan petani yang terjejas selain pembangunan industri makanan pasti akan menjadi tumpuan utama untuk dijayakan.

“Dalam masa yang sama PAS juga menyedari tugas besar untuk menghadapi penularan pandemik Covid-19 yang bakal dipikul bagi portfolio kesihatan.

“Selain itu, meneruskan usaha untuk menjayakan perkembangan sains teknologi dan kelestarian alam di negeri Perak,” katanya dalam satu kenyataan media.

Dalam pada itu, Hafez berkata, PAS Perak menginsafi bahawa kepimpinan merupakan perkara besar yang akan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak.

Tambahnya, PAS Perak akan terus berkhidmat dan menabur bakti dengan sebaik-baik mungkin demi kesejahteraan dan kebajikan rakyat di negeri Perak.

Razman, 60, sebelum ini memegang jawatan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, NGO dan Masyarakat Sivil Perak, telah dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan.

Manakala, Akmal, 42, yang sebelum ini mempengerusikan Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Penerangan Negeri, telah dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau.