JOHOR BAHRU: Empat suspek ditangkap dipercayai terlibat dalam memasang Jalur Gemilang serta bendera Johor secara terbalik di sebuah kilang di kawasan perindustrian Tebrau di sini.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, tangkapan itu dibuat hasil pemeriksaan sepasukan polis dari Balai Polis Bandar Dato Onn di kilang tersebut dan mendapati bendera negeri Johor dan Jalur Gemilang telah dipasang secara terbalik.

Katanya, pihak polis kemudian menahan empat suspek iaitu masing-masing dua lelaki dan dua wanita. Salah seorang suspek lelaki merupakan warga Bangladesh.

“Hasil siasatan mendapati kilang ini telah menjalankan perusahaan perabot selama lapan tahun di kawasan tersebut,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Ayob Khan, dalam pemeriksaan tersebut, polis juga telah merampas sehelai bendera Malaysia dan sehelai bendera negeri Johor.

Kesemua suspek akan disiasat di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dipenjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Selain itu, suspek juga disiasat di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955, jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebih RM100.

“Polis Johor menasihatkan orang ramai supaya sentiasa menjaga kedaulatan dan keamanan negara.

“Tindakan tegas akan diambil mengikut undang-undang sedia ada jika masih terkesan perbuatan sebegini,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan boleh menghubungi Bilik Gerakan Kontinjen Johor di talian 07-2254074. – MalaysiaGazette