KULIM: Seorang wanita yang ditahan berkhalwat dengan suami orang memberi alasan makan sate dalam kereta diletakkan di hadapan sebuah rumah di Taman Keladi di sini malam semalam.

Anggota Penguat kuasa Pejabat Agama Daerah Kulim yang melakukan rondaan di kawasan itu tidak dapat menerima alasan diberikan wanita itu ketika ditahan pada pukul 10.40 malam.

Pegawai Agama Daerah Kulim, Syeikh Muhammad Suhaimi Saleh berkata, tangkapan tersebut dibuat selepas menerima maklumat awam pasangan itu sering dilihat berdua-duaan di dalam kereta di kawasan tersebut.

“Anggota penguakuasa mengetuk cermin tingkap kereta beberapa kali sebelum pasangan itu membuka pintu.

“Selain itu, pasangan itu gagal mengemukakan sebarang dokumen membuktikan mereka suami isteri atau mahram menyebabkan mereka ditahan kerana disyaki berkhalwat,” katanya di sini hari ini.

Muhammad Suhaimi berkata, hasil siasatan mendapati lelaki berusia 52 tahun dan masih berstatus suami orang mempunyai tiga anak dan bekerja di sebuah syarikat utiliti di daerah ini.

Katanya, wanita berusia 26 tahun itu pula baru bekerja di syarikat sama pada Februari lalu dan masih belum berkahwin.

“Pasangan itu dibawa ke Balai Polis Kulim untuk dibuat laporan tangkapan sebelum dibawa ke pejabat agama untuk tindakan lanjut.

“Lelaki itu dipercayai menetap di daerah ini manakala wanita itu pula berasal dari Sungai Petani dan menetap di rumah sewa di sini,” katanya.

Muhamad Suhaimi berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 25 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah 2014. – UTUSAN