PETALING JAYA: Sepasang kekasih dan tiga bonzer ditahan reman tujuh hari bagi membantu siasatan kes pengurus pusat hiburan yang maut ditetak dalam pergaduhan di hadapan sebuah pub di pusat perniagaan 8 Avenue, Seksyen 8, di sini, pagi semalam.

Perintah tahanan reman empat suspek lelaki dan seorang wanita yang semuanya berusia 20 hingga 30 tahun itu dikeluarkan Penolong Pendaftar, Hairol Azhar Mohd Ishak di Mahkamah Majistret Petaling Jaya.

Semua suspek yang direman sehingga Ahad ini bertujuan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Bagi kesalahan itu, semua suspek boleh dihukum mati, jika disabit kesalahan.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, semua suspek, tiga bonzer dan pasangan kekasih yang juga penganggur direman bermula hari ini sehingga 23 Disember ini bagi membantu siasatan kes ini.

NSTP melaporkan, dalam kejadian pada jam 6.38 pagi, mangsa berusia 28 tahun dipercayai diserang sekumpulan lelaki bersenjatakan parang ketika berdiri di luar pub terbabit bersama beberapa lelaki lain.

Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), berlaku pergaduhan awal antara beberapa lelaki di hadapan pub terbabit kira-kira jam 5.32 pagi.

Kira-kira sejam kemudian, empat kenderaan jenis Perodua Myvi, Honda HR-V, Volkswagen Golf dan Toyota Camry datang ke lokasi sebelum beberapa lelaki bersenjatakan parang keluar serta menyerang mangsa yang berada di luar pub.

Dalam keadaan cedera parah, mangsa sempat menyelamatkan diri ke dalam pub itu sebelum semua suspek melarikan diri.

Mangsa yang menetap di Maxwell Towers, Jalan Gasing Indah, di sini, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan pada jam 7.40 pagi – berita harian