KUALA LUMPUR: Sepasang kekasih disyaki pengedar dadah, ditahan bersama bungkusan pelbagai jenis bahan terlarang itu dianggarkan bernilai RM121,300 di sebuah kondominium di Jalan Permaisuri 5, Bandar Sri Permaisuri di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Abdul Ghani Mohamad Ji, berkata kedua-dua suspek berusia 30 dan 25 tahun itu ditahan dalam serbuan kira-kira jam 2 petang.

“Hasil pemeriksaan di dalam rumah itu menemukan satu beg plastik hitam mengandungi pelbagai jenis dadah yang diletakkan di dalam almari katil di sebuah bilik.

“Beg plastik terbabit mengandungi 3,000 pil dipercayai jenis nimetazepam, 62 peket dadah jenis ketamin dan 146 peket dadah jenis methamphetamine yang dianggarkan bernilai RM121,300,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, polis turut merampas wang tunai berjumlah RM500 dipercayai hasil pengedaran dadah berkenaan.

“Soal siasat terhadap suspek mendapati mereka dipercayai mendapat bekalan dadah daripada seorang lelaki tempatan di kawasan Bandar Sri Permaisuri, Cheras, dengan harga RM130 untuk 10 pil Eramin 5, RM3,000 (50 gram dadah methamphetamine) dan RM3,000 (50 gram dadah ketamin).

“Mereka mengaku berurusan untuk kali pertama dengan lelaki terbabit sejak awal bulan lalu,” katanya.

Katanya, suspek lelaki terbabit bekerja sebagai penjual produk pelangsingan dalam talian, manakala suspek wanita pula peniaga di kantin sebuah sekolah di Bandar Tasik Selatan, di sini.

“Semakan mendapati suspek lelaki itu memiliki rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan turut positif dadah jenis methamphetamine hasil ujian saringan air kencing.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya – berita harian