TAPAH: Polis menahan sepasang kekasih dan merampas dadah jenis ganja mampat seberat 214 kilogram dianggarkan bernilai RM535,525 dalam serbuan di kawasan hentian dan rawat (R&R) Tapah, arah selatan Rabu lalu.

Dalam kejadian jam 10.30 pagi Rabu, suspek lelaki berusia 47 tahun dan teman wanitanya berusia 32 tahun ditahan ditahan ketika berhenti rehat di RnR itu oleh sepasukan pegawai dan anggota polis Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman.

Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Goh Boon Keng berkata penangkapan suspek dibuat setelah menjalankan risikan selama empat bulan.

“Sepasukan pegawai dan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman telah melakukan serbuan dan tangkapan terhadap seorang lelaki berumur 47 tahun dan teman wanitanya 32 tahun di kawasan R&R Tapah.

“Hasil pemeriksaan dalam kenderaan itu telah menjumpai lapan plastik berwarna hitam di dalamnya terdapat lapan guni berwarna putih yang mengandungi 220 ketulan mampat disyaki dadah jenis ganja.

“Mereka dipercayai dari arah utara mengala ke selatan mungkin ke kawasan Lembah Klang.

“Bagi suspek lelaki itu ada tiga rekod kesalahan lampau, iaitu dadah sebanyak sembilan kes dan tiga kes berkaitan jenayah iaitu curi dan rompak. Untuk perempuan pula ada satu kes penagihan dadah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Tapah di sini pada Jumaat.

Menurutnya lagi, hasil siasatan mendapati ganja itu dipercayai untuk dipasarkan di kawasan Lembah Klang dan dianggarkan untuk kegunaan lebih 140 ribu orang.

Bekalan ganja itu juga dipercayai diperoleh dari negeri sebelah utara dan luar negara.

Katanya lagi, kedua-dua suspek telah ditangkap dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Tapah untuk siasatan lanjut.

Jelasnya, mereka direman selama tujuh hari bermula semalam sehingga 9 September dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman mandatori iaitu gantung sampai mati