Oleh: Nazialita Geynna Maharan

TAIPING: Seorang bayi perempuan berusia enam bulan meninggal dunia semalam (Isnin) setelah dimasukkan ke hospital dipercayai akibat didera di Kampung Tekah, dekat sini.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Mohamad Taib berkata penderaan terhadap bayi itu hanya dikesan hasil siasatan awal polis berserta laporan doktor yang merawat bayi perempuan itu sejak tiga hari lalu.

Menurut Mohamad Taib, laporan doktor itu adalah mengenai kematian seorang bayi berumur enam bulan yang disyaki mempunyai unsur penderaan.

“Pada 2 Februari lepas, doktor berkenaan telah menerima mangsa, Nur Khayra Mohamad Amirul Asnil berusia enam bulan yang diserahkan kedua ibubapanya dalam keadaan tidak sedarkan diri.

“Ketika disoa doktor, ibubapa mangsa memberitahu anaknya mengalamai kecederaan akibat jatuh daripada buaian.

Bayi berkenaan dirawat di Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) dan diberi bantuan pernafasan CPR.

“Pemeriksaan rapi kemudiannya dibuat dan laporan daripada CT Scan menunjukkan bayi perempuan tersebut mengalami pendarahan di bahagian otak serta pendarahan di dalam mata,”katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Taiping, dekat sini pada petang Selasa.

Mohamad berkata, doktor tersebut kemudian telah membuat pemeriksaan fizikal ke atas Nur Khayra namun tidak menjumpai sebarang kesan lebam pada tubuh anak kecil itu semasa dimasukkan ke wad.

“Pemeriksaan rapi ke atas Nur Khayra kemudiannya mendapati terdapat unsur-unsur penderaan berlaku, samada dengan niat ataupun tidak.

“Bayi tersebut kemudian telah disahkan meninggal dunia pada jam 7.30 pagi semalam,”katanya lagi.

Menurut Mohamad Taib, pihak polis kemudian telah menjalankan siasatan lanjut dengan mengambil rakaman percakapan doktor berkenaan serta kedua ibubapa bayi itu.

“Polis berpendapat dan mengesyaki bahawa bayi yang merupakan anak kedua pasangan itu telah didera dan siasatan telah dilakukan di rumah ibubapa mangsa.

“Mayat bayi itu telah dihantar ke Unit Forensik, Hospital Besar Ipoh bagi bedah siasat dan punca kematian disahkan kecederaan di kepala akibat trauma tumpul,” ujarnya lagi.

Susulan itu, polis telah menahan bapa mangsa iaitu seorang pengusaha kantin berusia 21 tahun dan isterinya berusia 19 tahun, seorang surirumah.

“Pasangan itu mempunyai seorang lagi anak berusia setahun enam bulan. Mereka baru sahaja berkahwin pada Julai tahun lepas,” katanya.

“Dua laporan polis telah dibuat dan kes disiasat di bawah Seksyen 31(1a) Akta Kanak-kanak 2001,”ujarnya lagi.