SUNGKAI: Tiga termasuk sepasang suami isteri maut dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan, apabila kereta yang dinaiki mereka bertembung antara satu sama lain di Kilometer (KM) 88 Jalan Ipoh-Kuala Lumpur dekat sini pada Ahad.


Mangsa yang maut dikenali sebagai Muhammad Ridhwan Ismail,22, yang memandu Perodua Myvi dan Mohamed Tahir Junus, 64 serta isterinya Nor Aini Mohd Sam, 54, yang menaiki Proton Saga.


Menurut Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail, kemalangan dipercayai berlaku semasa pemandu Perodua Myvi, Muhammad Ridhwan dalam perjalanan dari Subang Jaya, Selangor menghala ke Teluk Intan.


“Apabila sampai di lokasi kemalangan, mangsa disyaki telah hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan lalu bertembung dengan Proton Saga secara depan-depan. 


“Akibat daripada kemalangan ini, pemandu Perodua Myvi mengalami kecederaan dan disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital Slim River manakala pasangan suami isteri yang menaiki Proton Saga meninggal dunia di lokasi kemalangan,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.


Katanya lagi punca kematian masih dalam siasatan dan menunggu laporan bedah siasat.


Wan Azharuddin berkata waris mangsa telah dimaklumkan berhubung kemalangan itu dan kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.