BIDOR: Sepasang suami isteri terseput di dalam kereta apabila kenderaan yang mereka naiki terlanggar seekor babi hutan di Kampung Bikam, Jalan Bidor – Sungkai, dekat sini, pagi ini.

Mangsa, Bakhtiar Abu Bakar, 41 dan Norazlinda Azreen Mohamad Zuber, 27, turut mengalami kecederaan.

Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, mereka menerima panggilan mengenai kejadian itu pada 6.58 pagi.

“Kemalangan melibatkan sebuah kereta Perodua Axia berlanggar dengan seekor babi lalu terbabas di bahu jalan,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, anggota bomba mengeluarkan mangsa dari kereta tanpa menggunakan peralatan menyelamat, sebelum menyerahkan mereka kepada pihak ambulan untuk tindakan selanjutnya.

Menurutnya, kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Slim untuk rawatan lanjut manakala babi hutan yang dilanggar ditemui mati.