SERI ISKANDAR: Selaras dengan keputusan kerajaan membenarkan semua operasi pasar terbuka seluruh negara dibuka semula Isnin ini, pasar pagi dan pasar malam kelolaan Majlis Daerah Perak Tengah (MDPT) akan bermula 22 Jun.

MDPT mengelolakan tiga pasar pagi dan dua pasar malam di sekitar daerah itu.

Menurut kenyataan MDPT, operasi bermula dengan pasar pagi Parit dan pasar malam Iskandar Perdana (Seri Iskandar), kedua-duanya pada hari Isnin.

Tiga lagi ialah pasar pagi Kampung Gajah pada hari Selasa, pasar malam Bandar Universiti, Seri Iskandar (Rabu) dan pasar pagi Bota Kanan (Sabtu).

“Pihak Majlis sedang dalam persediaan penyelarasan lokasi serta pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan,” kata kenyataan itu hari ini.

Menurutnya, hanya peniaga yang mempunyai lesen pasar sehari yang masih aktif sahaja akan dibenarkan untuk beroperasi.

Sehubungan itu, permohonan pembaharuan lesen hendaklah dikemukakan kepada Jabatan Perlesenan MDPT selewat-lewatnya pada 16 Jun ini.

Pada Ahad, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, semua operasi pasar terbuka, pasar pagi, pasar malam dan bazaria di seluruh negara dibuka semula bermula 15 Jun.

Bagaimanapun, prosedur operasi standard (SOP) mungkin berbeza antara satu pihak berkuasa tempatan.