PUTRAJAYA: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, menitahkan jawatankuasa fatwa supaya memastikan fatwa dikeluarkan diterima secara positif dengan hati terbuka serta berupaya meneguhkan pegangan ummah terhadap Islam.

Baginda bertitah, fatwa yang diterima secara positif serta tidak dianggap berunsur mengongkong dan menekan, dapat mendekatkan umat Islam kepada Penciptanya.

Titah baginda, jawatankuasa fatwa juga perlu memberikan ruang masa perundingan yang cukup dan melakukan perundingan silang (cross consultation) termasuk mengadakan perbincangan dengan pelbagai pihak berkepentingan ketika menangani isu-isu baharu yang belum ada duluan.

Langkah itu, titah baginda perlu demi menjamin fakta-fakta dapat dianalisis secara mendalam, komprehensif dan teliti.

Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, dunia kini yang bertambah kompleks, tentunya menghamparkan lebih banyak persoalan yang memerlukan jawapan.

“Memandang ke hadapan, institusi mufti memerlukan perekayasaan kaedah dan pendekatan dalam menangani cabaran dunia semasa, demi menjamin institusi mufti kekal dihormati sebagai sumber rujukan agama yang berwibawa.

“Dalam proses mengeluarkan fatwa amatlah penting untuk diberikan perhatian kepada lapan komponen,” titah baginda ketika merasmikan Multaqa Jawatankuasa Fatwa Seluruh Malaysia, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri. – BH Online