KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menghantar satu pasukan penyiasat khas ke Bangkok, Thailand bagi mendapatkan kerjasama mengesan dua suspek yang menembak mati pensyarah warga Palestin, Dr Fadi M R AlBatsh Fatma.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun, berkata pasukan khas itu sudah ke Bangkok untuk menemui kepimpinan polis di sana, selain PDRM turut mendapatkan kerjasama dengan pihak berkuasa Singapura dan Indonesia.

“Kita percaya, kedua-dua suspek yang menembak mati Fadi pada kejadian 21 April lalu sudah melarikan diri keluar negara.

“Jadi, kita sudah menghantar pasukan khas ke Bangkok baru-baru ini bagi mendapatkan kerjasama pihak berkuasa Thailand untuk mengesan dua suspek itu,” katanya pada sidang media khas di Bukit Aman, hari ini.

Dalam kejadian jam 6 pagi 21 April lalu, Fadi maut ditembak lebih 20 das di badan dan kepala ketika dalam perjalanan ke Surau Medan Idaman, Setapak di sini, bagi menunaikan solat Subuh.

Dua suspek menaiki motosikal berkuasa tinggi dipercayai sudah mengintip pergerakan mangsa sejak sekian lama sebelum menyerang mangsa secara mendadak.

Bagaimanapun, ditanya sama ada beliau dapat mengesahkan dua suspek itu benar-benar sudah berada di luar negara, Mohamad Fuzi berkata, ia satu kemungkinan yang tidak dapat ditolak.

Sebelum ini, PDRM mendedahkan wajah sebenar seorang daripada suspek kepada umum dan mendakwa kedua-dua mereka menggunakan identiti palsu untuk masuk ke negara ini.

Dipercayai kedua-dua suspek berkenaan yang wajahnya iras warga Eropah atau Asia Barat itu berada di Malaysia sejak penghujung Januari lalu dan mendapat latihan dalam bidang ketenteraan – berita harian