PUTRAJAYA: Peniaga diberi amaran supaya mematuhi pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) pada kadar sifar yang bermula 1 Jun ini atau berdepan tindakan tegas.

Mana-mana peniaga yang ingkar boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011, Akta Perihal Dagangan 2011 dan Akta Perlindungan Pengguna 1999.

Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK),

Datuk Mohd Roslan Mahayudin, berkata pihaknya akan bekerjasama dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) bagi memastikan pematuhan itu.

“Jika selama ini sesuatu barang berharga RM100, pada 1 Jun ini kami ingin melihat harga yang ditawarkan peniaga adalah RM94 (selepas ditolak enam peratus),” katanya sidang media di sini, hari ini.

Beliau turut menasihati pengguna supaya memeriksa resit setiap kali membuat pembayaran bagi memastikan peniaga mematuhi pelaksanaan GST pada kadar sifar.

“Pengguna perlu berhati-hati dan pastikan pada resit (GST) kosong peratus, bukan lagi SR (standard rated) enam peratus. Kalau masih ada, mereka boleh laporkan kepada JKDM atau KPDNKK,” katanya.

Orang ramai boleh menyalurkan aduan kepada KPDNKK antaranya menerusi 1Malaysia One Call Centre (1MOCC) di talian 03-80008000, talian bebas tol Pusat Informasi dan Gerakan Operasi Strategik (PIGOS) di 03-88826088/6245, aplikasi telefon pintar Ez ADU atau emel ke e-aduan@kpdnkk.gov.my.

Mohd Roslan berkata, pihaknya juga sudah mengadakan perbincangan dan taklimat dengan persatuan peniaga pada 25 Mei lalu mengenai pelaksanaan GST pada kadar sifar.

“Kami harap tiada isu berbangkit mengenai perkara ini dan mereka juga faham apa yang dinyatakan oleh kerajaan,” katanya.

Mohd Roslan berkata, pada perbincangan itu, peniaga memaklumkan kesukaran untuk menukar tanda harga mulai 1 Jun ini, lebih-lebih lagi bagi pasar raya besar yang mempunyai ribuan barangan untuk ditukar harga.

“Peniaga meminta masa dua hingga tiga bulan untuk menukar harga berkenaan. Namun, ketika pembayaran, mereka perlu pastikan harga tertera di atas resit adalah kadar sifar peratus bagi GST.

“Kami sudah mengarahkan penguat kuasa KPDNKK untuk melakukan pemantauan harga semasa bagi barangan di premis untuk memastikan peniaga mematuhi arahan berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Mohd Roslan berkata, bermula Januari hingga April lalu, sebanyak 183,395 pemeriksaan dijalankan di seluruh negara mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

Daripada jumlah itu, sebanyak 1,194 kes direkodkan membabitkan rampasan bernilai RM882,192 dan kompaun berjumlah RM180,430.

Tinjauan mendapati harga bagi 113 barangan keperluan harian seperti hasil laut, daging, barangan kering dan sayuran masih kekal, manakala, 13 barangan lain mengalami kenaikan harga julat antara 2.78 peratus hingga 50 peratus.

Selain itu, 14 barangan mengalami penurunan harga dengan julat antara 0.19 peratus hingga 62.58 peratus.

Mengenai kenaikan harga barangan baru-baru ini, Mohd Roslan berkata ia adalah situasi biasa setiap kali awal Ramadan berikutan permintaan tinggi dalam pasaran.

“Bagaimanapun, keadaan kembali normal bagi barangan seperti ayam, daging dan sayur. Bagi sayur ia juga bergantung kepada bekalan dan keadaan cuaca,” katanya.

Mengenai skim kawalan harga musim perayaan bagi sambutan Aidilfitri, beliau berkata KPDNKK bercadang untuk melaksanakan skim itu pada 8 Jun – berita harian